KEMANISAN

31 Mac 2012

'Kebakaran kecil' di Sekolah Rendah Haji Tarif

'Kebakaran kecil' di Sekolah Rendah Haji Tarif
Oleh Sahama
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac - Warga Sekolah Rendah Haji Tarif (SRHT), Kampong Tamoi Tengah gembar apabila siren kecemasan berbunyi menandakan bangunan sekolah hendaklah dikosongkan dengan segera.
Sebaik sahaja menyedari asap keluar daripada papan suis (switch board) bilik komputer, guru pengawas keselamatan terus membuat panggilan kecemasan 995.
Kesemua pelajar dan guru-guru sekolah tersebut dengan segera berkumpul di kawasan berkumpul (assembly point) yang telah ditetapkan.
Dalam masa kurang daripada tiga minit, seluruh bangunan sekolah dikosongkan dan guru kelas serta ketua penuntut sibuk mencatat kehadiran para penuntut dan mendapati dua pelajar tidak ada.
Dengan pantas, pasukan bomba dan penyelamat Operasi D, Pasukan Bomba Laut dan Bomba Pelancaran menangani kejadian tersebut, dan menemui dua murid yang terkurung dalam tandas dan berjaya diselamatkan.
Senario ini merupakan latihan kecekapan mengosongkan sekolah dengan pantas untuk menangani sebarang bencana alam atau kebakaran yang diadakan pada hari ini.
Setelah selesai latihan berkenaan, guru besar sekolah berkenaan Dayang Hamiltun binti Haji Abdul Samad dan guru-guru kanan mendengarkan 'post-mortem' daripada Pegawai PRO Operasi 'D'; SO Matassan bin Md Yusof.
Tujuan latihan tersebut diadakan agar warga sekolah memahami, mengetahui dan mematuhi serta bertindak dengan betul untuk menyelamatkan diri di peringkat awal dari bahaya kebakaran dan lain-lain kecemasan.
Di samping itu, latihan ini juga dapat melatih murid-murid supaya jangan panik dan terus meninggalkan kelas dengan teratur tanpa membahayakan diri sendiri dan orang lain.