KEMANISAN

6 Januari 2011

Minggu Orientasi SMSSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan - Melangkah ke alam persekolahan menengah pastinya akan membuat seseorang pelajar mengalami kejutan budaya.


Justeru itu, sekolah-sekolah menengah mahupun maktab di negara ini mengadakan minggu suai kenal bagi pelajar-pelajar baru dengan pelbagai kegiatan dirancang pihak sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar tidak ketinggalan mengadakan minggu suai kenal bagi penuntut Tahun 7 seramai kira-kira 180 orang yang mendaftar di sekolah berkenaan.

Hari ini merupakan hari ketiga para penuntut mengikuti suai kenal di sekolah berkenaan.

Acara sukan ria yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Jasmani sekolah tersebut merupakan salah satu agenda dalam suai kenal berkenaan yang diadakan di Dewan Serbaguna sekolah tersebut.

Pada hari pertama, para pelajar diberikan taklimat oleh pihak sekolah.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh pengetua sekolah itu, Dayang Hajah Zaliha Haji Dollah yang bertempat di dewan sekolah berkenaan.

Seterusnya taklimat disampaikan oleh Timbalan Pengetua, Guru Kanan Akademik, Guru Kanan Pentadbiran, Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, Pendaftar dan Guru Kemudahan Kenderaan.

Kemudian bacaan ikrar sekolah oleh penuntut Tahun 7 yang mengikuti program orientasi yang dijalankan.

Taklimat diteruskan oleh Penolong Guru Kanan Aktiviti Ko-Kurikulum, Penolong Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya.

Pada hari kedua, pelajar mengikuti aktiviti motivasi iaitu "Kecemerlangan Berpasukan" yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya bersama Pembangunan Sumber Tenaga Manusia.

Setelah itu, para pelajar mengikuti taklimat yang disampaikan oleh pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan tajuk" Pengurusan Kewangan". Seterusnya peserta orientasi dibawa melawat ke kawasan persekitaran sekolah dan bilik-bilik khas.

Sabtu ini merupakan acara penutup Minggu Orientasi berkenaan dengan acara kemuncaknya iaitu Pertandingan Lagu Dakwah di antara kelas Tahun 7. Selain pertandingan tersebut, pihak sekolah juga akan memilih pelajar bagi Anugerah Pelajar Berbakat, Pelajar Cerdas dan Pelajar Berani.

Di antara tujuan orientasi diadakan untuk memupuk semangat dan kesungguhan yang berterusan di kalangan pelajar supaya menjadi pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang.