Menjelangnya Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-27 pada tahun ini, Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampong Tamoi Tengah, Mukim Tamoi turut menyertai Majlis Menaikkan Bendera dan Pengagihan Bendera Kecil bagi murid-murid sekolah berkenaan.
Bendera-bendera kecil tersebut diserahkan oleh Guru Besar sekolah, Dayang Hamiltun binti Haji Abdul Samad kepada guru-guru darjah untuk diagih-agihkan kepada setiap murid. Bendera tersebut akan sentiasa diletakkan di atas meja masing-masing semasa waktu sekolah.
Sebelum acara penyerahan bendera, warga sekolah sama-sama menyanyikan Lagu Kebangsaan sambil menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam diikuti dengan ucapan daripada guru besar.
Majlis diserikan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik beramai-ramai untuk membakar semangat kecintaan kepada negara di kalangan murid-murid sekolah.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Ashrah bin Pengarah Haji Metussin, ketua guru ugama sekolah berkenaan.
Sambil mengibarkan bendera kecil, murid-murid menyanyikan lagu "Berkibarlah Bendera" dalam baris lalu menuju ke bilik darjah masing-masing setelah majlis tersebut selesai.