KEMANISAN

21 Mac 2011

30 sertai Perkampungan Belia Masjid

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac - Komiti Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Kampung Sungai Hanching menganjurkan Perkampungan Belia Masjid sempena cuti penggal pertama persekolahan dengan tema 'Menuju Ke Arah Disiplin Diri'.


Perkampungan itu berlangsung tiga hari dua malam melibatkan 30 belia masjid berkenaan bermula hari ini dan dipimpin imam Haji Amron Haji Awang dan Penyelia Bahagian Kumpulan Belia Masjid, Asmalee Haji Abd Majid.

Pelbagai kegiatan disediakan pihak penganjur, antara Halaqah Al-Quran, kuliah subuh, ceramah motivasi dan aktiviti sukan ria.

Aktiviti sukan ria di perkarangan masjid itu termasuk pertandingan memancing botol dan lumba makan buah-buahan.

Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut nama khalifah Islam, Sayyidina Abu Bakar Assiddiq, Sayyidina Omar Al-Khattab, Sayyidina Othman Al-Affan dan Sayyidina 'Ali Abi Talib.