KEMANISAN

9 Mac 2011

Program kesedaran awam mengenai alam sekitar

BANDAR SERI BEGAWAN 8 Mac - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan melalui program 'Brunei Environment Youth Envoy' (EYE) mengadakan projek mempertingkatkan kesedaran awam mengenai alam sekitar di Sekolah Rendah Haji Tarif, Kampong Tamoi Tengah baru-baru ini bertempat di kawasan lapang sekolah berkenaan.


Program ini melibatkan seramai 63 orang murid sekolah berkenaan termasuk guru-guru yang dikendalikan oleh 15 orang ahli 'Brunei Environment Youth Envoy' (EYE).

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk ceramah mengenai projek ini kepada murid-murid, pertandingan mewarna, aktiviti kuiz, permainan mini dan sebagainya.

Projek yang dikendalikan oleh kerjasama jabatan ini dengan belia EYE merupakan salah satu usaha untuk menyebarluaskan tanggungjawab dan usaha bagi memastikan alam sekitar yang sentiasa bersih, selamat, indah dan produktif bagi generasi kini dan akan datang.

Selain itu juga, projek ini adalah salah satu cabang daripada projek Pembersihan Sungai Brunei yang dikendalikan oleh jabatan ini di bawah Rancangan Kemajuan Negara 2007-2012.

Projek ini juga telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Saba Darat, Sekolah Rendah Sungai Kebun, Sekolah Rendah PAP Besar, Kampong Peramu dan Sekolah Rendah Kiarong.

Objektif projek ini dilaksanakan ialah untuk mendedahkan dan memperkenalkan murid-murid mengenai konsep kitar-semula (Reduce, Reuse and Recycle) melibatkan barang buangan berbentuk plastik, kertas dan logam (besi).