KEMANISAN

28 Mac 2011

Menuju ke arah Disiplin Diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac - Kumpulan Sayidina Uthman bin Affan menjadi kumpulan terbaik keseluruhan sepanjang mengikuti program suai kenal kali ke-3 anjuran Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Kampong Sungai Hanching di sini.


Majlis penutup program dan penyampaian sijil serta hadiah pemenang bagi program motivasi itu disempurnakan oleh Penasihat Ahli Jawatankuasa Masjid Kampong Sungai Hanching, Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman Hamid.

Mohammad Musa Haji Abd Rahman dipilih sebagai peserta 'Berdisiplin' manakala Ahmad Darwisy Haji Amron dipilih sebagai peserta 'Termuda' dari Sekolah Rendah Dato Basir yang berusia 7 tahun.

Program belia masjid yang bertemakan "Menuju ke arah Disiplin Diri" tersebut berlangsung selama 3 hari 2 malam melibatkan seramai 30 orang peserta.

Para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan mengikut nama-nama khalifah Islam iaitu Saiyidina Abu Bakar Assiddiq, Saiyidina Omar Al-Khattab, Sayidina Othman bin 'Affan dan Saiyidina 'Ali bin Abi Talib.

Pelbagai kegiatan yang diadakan bagi mengisi program berkenaan yang diungkayahkan oleh pihak penganjur KBM.

Di antara pengisian yang dijalankan ialah Halaqah Al-Quran, kuliah subuh, ceramah motivasi, aktiviti sukan ria dan peraduan Azan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penasihat Bersama, Ketua Kampong, Penyelia Bahagian Kumpulan Belia Masjid, Jawatankuasa Masjid Kampong Sungai Hanching dan penduduk kampung berkenaan.