Oleh Sahama
Pengurus projek Lumai Ikan menunjukkan cara menghasilkan produk tersebut.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April - Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong menghasilkan sendiri produk Lumai Ikan.
Lumai ikan yang merangkumi ikan atau udang yang dibelah dan dibuang tulang dimasinkan kemudian dijemur hingga kering. Produk itu diusahakan di rumah Awang Haji Muhammad bin Haji Ibrahim, salah seorang ahli MPK Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.
MPK itu menghasilkan tiga jenis lumai iaitu Lumai Asam Masin, Lumai Asam Manis dan Lumai Asam Manis Pedas.
Ia dihasilkan untuk menyahut seruan Satu Kampung Satu Produk bagi mengembangkan lagi ekonomi kampung selain menjadikan produk kampung itu tarikan kepada pelancong.
Turut menyaksikan produk yang diusahakan tersebut ialah Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba; Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam, Ketua Kampong Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong; Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @Haji Othman, Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Abd Kahar; Penasihat Majlis Perundingan Kampung dan Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung tersebut juga hadir dalam majlis tersebut.