BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April - Seramai 150 orang penuntut Kluster II mengikuti Kursus Asas Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) bagi sesi 2011 bertempat di Sekolah Menengah Lambak Kiri, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri.
Tetamu kehormat kursus tersebut ialah Awang Haji Ali Haji Zainal, Timbalan Pengetua Akademik Sekolah Menengah Serasa.
Beliau menyatakan bahawa ahli-ahli PRS dilatih untuk mengalami proses memahami, memotivasi dan menghormati diri sebelum mereka dapat membantu dan membimbing rakan-rakan mereka di sekolah.
Di samping itu juga beliau mengharapkan para PRS untuk meningkatkan prestasi atau sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi akademik mereka. Melalui pencapaian akademik yang baik mereka berupaya membantu rakan bukan saja dalam mengatasi masalah emosi bahkan juga membantu dari segi akademik.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Haji Azrin Haji Tunjang; Kaunselor Sekolah Menengah Serasa kemudian diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Kaunselor Kluster II, Awang Haji Halim Abdullah, Kaunselor Sekolah Menengah Berakas.
Para Pembimbing Rakan Sebaya dilibatkan dengan pelbagai aktiviti yang diungkayahkan bersama oleh kaunselor Sekolah Menengah Serasa, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Kursus asas tersebut dikendalikan bersama oleh Sekolah Menengah Serasa dan Sekolah Menengah Lambak Kiri. Kursus Lanjutan Pembimbing Rakan Sebaya nanti akan diadakan di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampong Salambigar.
Tujuan kursus asas tersebut diadakan untuk memberikan pendedahan kepada penuntut untuk membantu dan berdamping dengan rakan yang lain di sekolahnya. Di samping itu untuk mengeratkan hubungan di antara penuntut dari sekolah-sekolah menengah Kluster II.