KEMANISAN

8 April 2011

Rumah Patih Berbai juara rentas desa SMSSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April - Rumah Patih Berbai muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Rentas Desa antara rumah-rumah yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar hari ini.

Peserta lelaki berlari sejauh 9 kilometer manakala peserta perempuan sejauh 6 kilometer. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori B khusus bagi penuntut di bawah 15 tahun, kategori C penuntut berumur 16 hingga 18 tahun dan kategori D penuntut berumur 19 tahun.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran dan Kewangan Zamain Abdul.

Kategori B dijuarai oleh Dayang Nurul Nadihirah Safari dari Rumah Awang Semaun bagi peserta perempuan sementara peserta lelaki ialah Awang Abd Aziz Hamizan Haji Junaidi dari Rumah Awang Alak Betatar.

Dayang Khairunnizah Abu Hassan juara kategori C dari Rumah Awang Jerambak sementara peserta lelaki disandang oleh Syazwan Haji Hassan dari Rumah Awang Jerambak.

Peserta lelaki dari Rumah Awang Alak Betatar menjuarai pertandingan dalam kategori D yang diwakili oleh Md. Razi Haji Roslan dan peserta perempuan disandang oleh Siti Nor Amira Didi Ahdi dari Rumah Awang Semaun.

Peserta yang berjaya dalam Pertandingan Rentas Desa Antara rumah-rumah menerima hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua dan Guru Kanan sekolah berkenaan.

Pertandingan tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Ko-Kurikulum sekolah tersebut.