BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April - Walaupun sudah berlalu bulan Rabiulawal, namun rasa kecintaan dan kasih sayang terhadap seorang Nabi, umat Islam di negara ini masih menyambut kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Justeru itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara mengadakan sambutan sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W di dewan masjid berkenaan baru-baru dengan dihadiri kira-kira 180 orang.
Tetamu kehormat majlis tersebut ialah Dr Hajah Jamilah Haji Mohd Yusof, isteri Pegawai Daerah Brunei dan Muara.
Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dipimpin oleh Dayang Hajah Suhaini OKB Haji Mohd Dayang dan diikuti ucapan Pengerusi Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Hajah Rosemah Haji Mohd Yussof.
Menurut pengerusi majlis, aktiviti keagamaan itu diadakan pertama kali untuk mengerak aktifkan kaum muslimah dalam aspek kebajikan dan penghayatan keagamaan.
Di samping itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah merancang untuk mengendalikan "Kursus Menghalusi Taharah" bagi peserta muslimah.
Seterusnya ceramah khas disampaikan oleh Hajah Zaliha Haji Ibrahim; Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang berkisar tentang perjuangan Nabi Muhammad S.A.W.
Persembahan Dikir Marhaban adalah acara penutup majlis tersebut untuk menyemarakkan sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W.
Di antara tujuan majlis tersebut diadakan untuk menyemarakkan lagi syiar Islamiah kepada kaum Muslimah khasnya dan menyerapkan tarbiah Islamiah kepada generasi akan datang.