Oleh Sahama
Gambar ramai tuan rumah bersama
delegasi SKKP.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April - Syarikat Koperasi Kerjasama Kementerian
Pendidikan dan Tanggungan Berhad, Negara Brunei Darussalam (Koperasi SKKP)
baru-baru ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Surabaya,
Indonesia.
Delegasi itu diketuai oleh Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar,
Timbalan Pengerusi Koperasi SKKP.
Koperasi SKKP merupakan satu-satunya syarikat di bawah pengawasan BINA yang
sentiasa mempelajari, mengenal pasti organisasi dan pengurusan koperasi luar
negara untuk mendapatkan inspirasi yang boleh diadaptasi untuk dikembang majukan
dalam urus niaga bidang pendidikan.
Rombongan tersebut telah melawat sebuah sekolah swasta iaitu Yayasan
Pendidikan Asas Islam Al-Hikmah yang lebih dikenali sebagai "Al-Hikmah."
Kunjungan mereka dialu-alukan oleh Bapak Muryanto Atmadjo; Wakil Ketua
Al-Hikmah, Mim Saiful Hadi; Ketua Kantor dan bersama para guru yayasan
berkenaan.
Para rombongan diberikan taklimat mengenai penubuhan koperasi, visi dan misi
keislamannya berdasarkan Al-Quran dan Sunah.
Rombongan turut berpeluang melawat keseluruhan premis termasuk kelas
pembelajaran, dewan makan, perpustakaan, bilik pentadbiran dan kawasan
persekolahan.
Tujuan lawatan tersebut ialah untuk menimba pengalaman dan bertukar-tukar
fikiran di samping merapatkan hubungan silaturahim antara dua negara.